Sembang-sembang Tentang Jemaah Islam

Salam,,,in merupakan “copy” dari blog ustaz fauzi tentang Jemaah Islam,jadi ana harap antum semua boleh faham dengan entry “copy” kali ini,insyaalah…

1. Malam tadi saya berbual-bual dengan beberapa orang kenalan baru. Keikhlasan dan kesungguhan mereka untuk memperbaiki diri dan mengislah persekitaran amat jelas dapat dilihat dari wajah-wajah mereka. Suasana negara yang jauh dari budaya beragama (apa juga bentuk dan nilai agama) menolak mereka ke arah isu survival sebagai seorang muslim. Kesukaran untuk mempraktikkan apa yang mudah di tanahair dapat dilihat dari sikitnya bilangan jemaah yang berkumpul untuk solat Jumaat di dalam dewan yang disewa beberapa jam seminggu khusus untuk itu.

2. Sebagai sebuah komuniti kecil di negara asing, isu kesatuan menjadi isu yang cukup logik untuk dibimbangi. Sikap terus terang menolak untuk lahirnya satu persoalan; kenapa harakah-harakah Islamiah di Malaysia tidak boleh bersatu? Soalan yang cukup terus terang saya jawab juga dengan jawapan yang terus terang, sekaligus saya ingin menambah di entry pada kali ini tentang fenomena tarik menarik dalam menentukan kedudukan dan wala’ seseorang anak di antara sesebuah jemaah dengan ibu bapa dari jemaah lain.

3. Jemaah-jemaah yang ada di medan tidak boleh mengambil hukum khilafah Islamiah. Kesilapan berlaku apabila hadis-hadis sahih berkenaan jemaah, bai’ah dan taat diaplikasikan di dalam satu-satu jemaah Islam. Imam Ibnu Hajar ketika menafsirkan hadis-hadis tersebut lebih menafsirkan perkataan jemaah yang disebut di dalam hadis kepada makna khilafah atau kerajaan Islam; bai’ah kepadanya adalah wajib dan mentaatinya adalah kefardhuan. Lari dari ketaatan boleh membawa hukum bunuh jika sampai ke peringkat membina wala’ baru atau pemberontakan dalam bentuk kumpulan yang nempunyai syaukah (kekuatan). Tetapi hukum jemaah-jemaah Islam lebih tepat diambil dari hadis berkaitan kedudukan amir safar (ketua rombongan sekumpulan musafir); ketua dipilih berdasarkan persetujuan bersama oleh kumpulan kecil itu, keluar dari kumpulan safar tersebut adalah pilihan dan bukannya dosa yang boleh dijatuhkan hukuman bunuh atau dilabelkan sebagai pengkhianat.

4. Kesatuan jemaah-jemaah Islam adalah harapan semua tetapi untuk ianya direalisasikan, ia tidak semudah ungkapan kata-kata. Banyak faktor boleh menyumbang ke arah perbezaan ini menyebabkan isu taadud jemaah (kepelbagaian jemaah) seolah-olah satu suasana sementara yang perlu diterima dan diurus sebaiknya. Suara haram taadud jemaah cukup kuat dilaungkan sekitar 80′an dan 90′an tetapi dengan pengalaman yang mematangkan semua pihak yang terlibat, ia akhirnya tidak lagi bergema sekuat dulu pada waktu ini.

5. Kemungkinan yang membezakan satu jemaah dengan jemaah yang lain adalah manhaj amalnya. Satu jemaah lebih cenderung untuk memperbaiki dari atas dengan merebut kuasa politik, yang lain lebih cenderung untuk memperbaiki dari bawah dengan bergerak di dalam massa. Ada yang lain cenderung untuk memperbaiki dari dalam kerajaan itu sendiri dan mengeluarkan fatwa supaya taat kepada pemerintah yang ada kerana ianya adalah tradisi ahli sunnah wal jamaah. Ada yang mengharamkan penglibatan dalam pilihanraya hatta sebagai pengundi dan ada pula yang melaungkan penegakan khilafah dengan menumpukan aspek kempen semata-mata.

6. Kemungkinan yang membezakan satu jemaah dengan jemaah yang lain adalah marhalahnya dakwahnya. Ada yang melihat jemaahnya berada di marhalah asas dan ada yang melihat jemaahnya berada di marhalah amal terbuka. Ada yang meletakkan target untuk menubuhkan daulah Islamiah lagi 11 tahun dan ada yang meletakkan target itu pada hayat generasi akan datang.

7. Kemungkinan yang membezakan juga adalah karektor pimpinannya. Ada yang suka amal-amal simple dan tidak berani mengambil cabaran. Ada yang lain mungkin tidak ada kekuatan untuk keluar dari blok-blok yang sedia ada. Ada yang tahan dengan cabaran dan ada yang tidak mempunyai keberanian untuk melawan arus.

8. Perbezaan-perbezaan ini sepatutnya membawa kita kepada penakrifan yang matang tentang makna kerjasama antara jemaah. Malang dan amat malang apabila kerjasama sering digambarkan dengan makna satu jemaah perlu lebur dan masuk ke dalam jemaah lain yang kononnya lebih awal muncul atau kononnya lebih diiktiraf.

9. Peleburan sesebuah jemaah bukan format untuk menyelesaikan masalah tetapi saya lebih melihatnya sebagai tindakan tidak matang yang lahir dari sebahagian aktivis dakwah. Apa motifnya …. wallahu a’lam. Tapi nampak macam orang yang melaungkannya tidak menghayati makna perbezaan dan kerjasama.

10. Kerjasama boleh bermula dengan persetujuan semua pihak terhadap beberapa prinsip tanpa perlu peleburan. Kita boleh berbincang tentang prinsip ‘kepimpinan negara mesti di tangan orang Islam’, ‘ketuanan Melayu’ atau namakan ‘ketuanan Islam’ jika kita tidak selesa dengan itu. Kita boleh sepakat dengan prinsip ‘jangan beri ruang kepada orang bukan Islam untuk ambil kesempatan terhadap orang Islam’. Kita boleh bekerjasama tentang kempen Palestin. Kita boleh bekerjasama dalam kempen solat berjemaah, kempen menutup aurat, kempen kurangkan menonton tv bagi anak-anak di dalam rumah dan berapa banyak lagi kempen yang lain. Begitu banyak ruang kerjasama, kenapa peleburan yang dipilih untuk dipaksakan?

11. Berkait dengan itu, adalah menjadi hak mana-mana anak Adam yang berakal dan merdeka di atas muka bumi ini untuk memilih mana-mana jemaah yang akan diberikan kesetiaan dan bakti. Dengan kecerdikan akal manusia untuk menilai manhaj jemaah-jemaah di medan, kesesuaian keperibadian dengan budaya satu-satu jemaah, persetujuan terhadap marhalahnya …. maka bertawakkallah dan buat pilihan.

12. Tetapi masalah kadang-kadang berlaku apabila seseorang itu memilih satu jemaah yang bukan jemaah ibu bapanya. Ibu bapa yang matang akan membiarkan anak melakukan pilihan kerana dengan suasana tanahair yang cukup mudah untuk menghanyutkan remaja, anak yang memilih untuk terlibat dalam mana-mana badan dakwah adalah satu rahmat besar kepada ibu bapa. Berterima kasihlah kepada sesiapa yang menyumbang ke arah pilihan itu.

13. Tetapi apabila emosi mengatasi rasional, ibu bapa mungkin akan mempengaruhi pilihan anak-anak dengan cara paksa atau dengan cara pujuk. Mungkin ancaman dan mungkin juga senjata air mata. Apa-apa pun uslub dan caranya, ia tidak akan menyelesaikan masalah tapi sebaliknya akan menimbulkan masalah baru.

14. Hak ayah di dalam isu ini sepatutnya tidak jauh bezanya dengan isu menentukan kerjaya anak-anak. Yang diperlukan mungkin bimbingan tetapi bukan arahan dan ‘qarar’. Tidak ada kaedah di dunia yang mengatakan kalau ayah tabligh maka anak perlu jadi tabligh, kalau ayah hizbu tahrir maka anak perlu jadi hizbu tahrir. Bayangkan seseorang anak yang berfikir dengan cara fikir seorang anggota jemaah tabligh dipaksa oleh ayahnya untuk menjadi ahli parti politik yang dianggotai oleh ayahnya. Boleh bayangkan apa yang akan berlaku?

15. Tidak timbul isu taat di sini kerana anak perlu taat pada ayahnya sebelum baligh dan selepas itu istilahnya adalah ‘birrul walidain’ (berbuat baik, melayan dengan layanan yang baik, berbakti kepada ibu bapa dan sebagainya). Jauh bezanya antara taat dan ‘birrul walidain’. Jangan campur adukkan kedua-dua hak ini kerana syarak membezakannya.

16. Anak perempuan pula apabila sudah berkahwin, dia perlu taat kepada suaminya dan ‘birrul walidain’. Kepada suami tanggungjawabnya lain dan kepada ibu bapa tanggungjawabnya lain. Juga jangan campur adukkan antara keduanya kerana syarak membezakannya.

17. Anak yang baligh ada kebebasan untuk menentukan kerjayanya, di mana tempat tinggalnya dan bagaimana dia membentuk keluarganya. Bantuan yang diberikan oleh ibu bapa kepadanya untuk mencapai kedudukannya sekarang adalah satu yang perlu dihargai dan dibalas. Tetapi balasannya bukan dengan masuk jemaah ibu bapanya kerana jemaah adalah pilihan berdasarkan kepada banyak faktor lain. Jika kebetulan pilihannya sama dengan pilihan ibu bapanya, mungkin itulah kemuncak kebahagian … tetapi jika tidak sama, ia tidak sepatutnya mengundang rasa tidak senang dan hubungan yang renggang. Hormatilah anak-anak di dalam pilihan mereka kerana itu lebih sejahtera kepada semua pihak sebagaimana anak-anak perlu menghormati ibu bapanya.

18. Pernah jumpa kes anak yang tertekan kerana ibu bapa memaksanya duduk bersama sesudah berkahwin dan beranak pinak? Pernah jumpa kes anak yang sudah beranak dua atau tiga yang rasa tidak selesa kerana terpaksa ikut jadual beraya ibu bapanya? Pernah jumpa kes anak yang tidak selesa dengan kerjayanya kerana itu bukan pilihannya tapi pilihan ibu bapanya? Pernah dengar kes pelajar yang tidak hadir ujian dan tidak study kerana bidang yang diceburinya adalah bidang paksaan ayahnya? Drama swasta banyak menceritakan kisah perempuan sengsara kerana berkahwin dengan calon pilihan ibu bapanya dan bukan calon pilihannya. Kisah yang sama akan berulang jika ibu bapa menggunakan pendekatan yang sama di dalam menetukan jemaah anak-anaknya.

19. Kesimpulannya jadilah manusia yang merdeka di dalam membuat keputusan. Tepuk dada dan tawakkal kepada Allah. Perbezaan jemaah-jemaah tidak mengundang suasana tegang jika diurus dengan baik. Berjiwa besarlah untuk menerima perbezaan kerana jiwa yang kecil biasanya mudah rasa sempit dengan sedikit khilaf.

Wallahu a’lam.

apa pendapat anda?

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: